Monday, February 15, 2010

MENELUSURI PASARAN MODAL MENURUT PERSPEKTIF ISLAM



Penubuhan Bank Islam sangat diterima baik serta mendapat sambutan yang luar biasa oleh masyarakat Islam dan bukan Islam sejak dari awal penubuhannya. Dan sambutan tersebut terus meningkat dari masa ke masa. Ini disebabkan oleh kesedaran masyarakat tentang kebaikan perbankan islam kerana menolak riba, seperti mana yang kita tahu riba ini memberi impak negatif dalam kehidupan.

Melalui transaksi perbankan tanpa riba yang disediakan oleh bank islam seperti kemudahan simpanan(deposit) serta pembiayaan tanpa riba ini, masyarakat telah mula berubah untuk memilih bank islam dalam menjalankan transaksi perbankan mereka. Dan sambutannya Alhamdulillah agak memberangsangkan.

Oleh kerana sambutan yang agak memberangsangkan itu, maka berbondong-bondonglah yang mendeposit wang meraka di bank-bank islam. Apabila ramai yang membuat simpanan di bank-bank islam, maka berlakulah longgokan dana deposit yang besar. Longgokan serta peningkatan yang mendadak pada dana deposit tersebut telah menimbulkan masalah baru bagi bank islam ketika awal penubuhannya itu. Ini kerana bank islam masih belum mempunyai banyak ruang pelaburan atau tempat untuk disalurkan dana deposit tersebut. Berbanding dengan bank konvensional, yang mana mempunyai Pasaran Kewangan sendiri bagi menyelesaikan masalah lebihan dana ini. Mekanisme yang terdapat di dalam Pasaran Kewangan konvensional ini antaranya ialah dengan meminjamkan lebihan dana tersebut kepada bank-bank yang memerlukan. Seterusnya, bank konvensional memperoleh pulangannya hasil daripada faedah yang dikenakan terhadap pinjaman tersebut.


Bank Islam perlu mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah longgokan dana deposit ini. Sekiranya ia berterusan tanpa diambil langkah untuk mengatasinya, sejumlah besar dana tersebut akan beku serta tidak boleh dimobilisasikan. Dan sekiranya dana deposit tersebut beku dan tidak dilaburkan secara berterusan, bank tidak akan boleh menjana pulangan daripada deposit tersebut dan perkara ini boleh menyebabkan kepada bankrapnya institusi perbankan Islam itu. Justeru, bagi mengelakkan hal ini berlaku, maka Bank islam perlulah mewujudkan pasaran kewangannya juga bagi membolehkan dana deposit tersebut disalurkan ke tempat yang sepatutnya dan Bank Islam boleh mendapat pulangannya untuk terus bergerak. Walaupun begitu, bank islam tidak boleh menyertai Pasaran kewangan konvensional bagi menyelesaikan masalah lambakan dana deposit ini kerana ia jelas sekali berteraskan riba. Dan ianya amatlah bertentangan dengan sistem perbankan islam yang mana bebas riba. Bank Islam perlu mewujudkan pasaran kewangannya sendiri yang mana instrumen dan mekanismenya perlulah patuh syariah.



ASAS PASARAN MODAL


Pasaran kewangan mempunyai beberapa komponen penting dan salah satunya ialah pasaran modal. Dan Pasaran Modal Islam (Islamic Capital Market) pula merupakan satu komponen bagi keseluruhan pasaran modal di Malaysia.

Secara umumnya, pasaran modal boleh ditakrifkan sebagai pasaran yang urus niaganya melibatkan instrumen kewangan yang tempoh matangnya melebihi satu tahun. Instrumen yang ada di pasaran modal ini kita boleh bahagikannya kepada dua iaitu :

    - Instrumen ekuiti (sijil saham)
    - Instrumen hutang (Bon)

Instrumen ekuiti merupakan satu bentuk sijil saham samada ianya dari jenis saham terpilih atau saham biasa. Saham boleh diertikan sebagai Sejumlah unit pemilikan pelabur dalam syarikat perkongsian/awam, yang berbeza keadaannya dengan jumlah bahagian modal dalam syarikat individu. Atau makna lainnya Satu transkrip atau sijil yang diberikan kepada pelabur sebagai pernyataan haknya yang sebenar dalam pemilikan modal syarikat.


Manakala Instrumen hutang pula terdiri daripada bon-bon dan bon ini pula kita boleh bahagikannya kepada dua iaitu bon boleh tukar dan bon biasa. Bon ialah dokumen kewangan ataupun sijil yang dikeluarkan oleh syarikat atau mana-mana perbadanan yang mana ianya boleh diedar dan diterbitkan dalam bentuk seperti pinjaman jangka panjang. Dan kebiasaannya ia boleh dimiliki melalui penawaran awam secara terbuka.




PASARAN MODAL MENURUT SUDUT PANDANG ISLAM


Pasaran Modal Islam (Islamic Capital Market) merupakan salah satu cabang utama dalam sistem kewangan islam. Walaupun ia masih lagi baru diwujudkan tapi kini Pasaran Modal Islam wujud seiring dengan pasaran modal konvensional. Mekanisme dan instrumen yang ada di dalam Pasaran Modal Islam berbeza sekali dengan Pasaran Modal konvensional kerana Pasaran Modal Islam berpandukan kepada perundangan Islam atau prinsip-prinsip Syariah yang lahir daripada sumber yang muktabar iaitu Al Quran dan Sunnah serta sumber fiqh yang telah dihasilkan oleh cendiakawan-cendiakawan ulung silam.


Oleh itu, bagi memastikan mekanisme, instrumen serta operasi Pasaran Modal Islam ini selaras dengan prinsip-prinsip Syariah, panel penasihat Syariah yang pakar serta berpengetahuan  luas dalam bidang kewangan Islam memainkan peranan yang amat penting. tujuannya juga bagi menjaga kualiti perbankan islam itu serta mewujudkan satu tahap keyakinan di kalangan peserta pasaran terutama yang beragama Islam.


Maka dengan itu unsur-unsur haram seperti riba, maisir (judi) dan gharar mestilah ditegah kerana ia bertentangan dengan islam. Dan ia juga merupakan kayu ukur atau sempadan dalam menilai dan menentukan satu-satu produk atau instrumen itu samada ianya halal ataupun sebaliknya.

Sebagai contoh dalam urus niaga saham, sekiranya terdapat unsur-unsur gharar atau adanya spekulatif, maka instrumen ini tidak akan diterima masuk dalam Pasaran Modal Islam untuk diniagakan. Tetapi sekiranya saham tersebut tiada unsur-unsur yang ditegah tersebut maka ianya boleh untuk diniagakan di pasaran islam. Perkara pokok dalam urus niaga saham ini ialah konsep tanggungan terhad iaitu jika berlaku sebarang kerugian kepada syarikat itu, maka pemilik saham syarikat itu hanya menanggung kerugian setakat nilai saham yang mereka miliki sahaja. Pemilik saham syarikat tersebut tidak akan bertanggungjawab membayar hutang-hutang lain yang dimiliki oleh syarikat. Dan ini bertepatan dengan prinsip mudharabah yang dibenarkan dalam islam di mana pihak pengusaha tidak akan bertanggungjawab atas kerugian perniagaan atas usaha yang dijalankan sekiranya bukan kelalaian pengusaha tersebut. Ia hanya akan ditanggung olah pemilik modal sahaja.




OBJEKTIF PASARAN MODAL ISLAM

Kesedaran yang tinggi di kalangan umat Islam tentang perlunya kepada sistem kewangan berteraskan Syariah inilah yang menjadikan Pasaran Modal Islam ini wujud sepertimana yang ada sekarang ini. Maka, dengan seruan masyarakat serta perhatian yang serius yang mereka berikan ini, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti (Securities Commisioner) telah mengatur beberapa langkah untuk memastikan Pasaran Modal Islam ini terus mengikut landasan syariah. Antaranya ialah dengan menubuhkan Majlis Penasihat Syariah pada Mei 1996.

Ketika pasaran menjadi semakin kompleks dan canggih, ia memerlukan sokongan infrastruktur supaya sistemnya boleh beroperasi dan berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan. Inisiatif awal Suruhanjaya sekuriti dalam menubuhkan sebuah Jabatan Pasaran Modal Islam (Islamic Capital Market Department) yang berdedikasi dalam Kumpulan Urusan Strategi dan Pembangunannya adalah untuk menyediakan sokongan infrastruktur yang amat diperlukan. Mandat bagi Jabatan Pasaran Modal Islam adalah untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan termasuk membentuk dan memudahcarakan satu pelan jangka panjang bagi memperkukuh Pasaran Modal Islam di Malaysia.

Dengan kewujudan Pasaran Modal Islam ini serta ketelusan operasinya, ia akan membuka peluang kepada umat Islam khuasusnya untuk menjana modal sebanyak mungkin. Semakin besar modal digemblengkan semakin kukuh kedudukan ekonomi sekaligus dapat membantu pembangunan ekonomi umat Islam secara terancang dan bersepadu. Dan seterusnya umat Islam terhindar dari riba, gharar serta perkara lain yang ditegah dalam Islam.


PANDUAN SYARIAH DALAM PASARAN MODAL ISLAM


Untuk memastikan setiap instrumen dan peraturan yang diperkenalkan mematuhi kehendak Syariah, dua asas penting iaitu merangkumi asas umum dan asas khusus. Asas-asas umum terdiri daripada:

    - riba
    - judi
    - gharar


Manakala asas-asas khususnya terdiri daripada:

    -  prinsip at-tanajusy (penipuan yang dilakukan bertujuan menaikkan harga tawaran)
   - tadlis al-‘aib (penipuan terhadap kualiti barangan), al-khilabah (tipu daya dalam urus niaga)
    - al-khiyanah (penipuan pada kadar modal).



PRINSIP-PRINSIP SYARIAH

Prinsip-prinsip Syariah yang lazim digunakan di Malaysia dalam penstrukturan sesuatu instrumen atau produk Pasaran Modal Islam adalah seperti berikut:
   
    - Bai‘ Bithaman Ajil (jual beli dengan pembayaran bertangguh)

    - Bai‘al-Inah (pembelian semula aset dengan harga yang berbeza daripada harga jual)

    - Bai‘as-Salam (jual beli dengan penyerahan barangan pada masa hadapan)

    - Bai‘al-Wafa’ (jual beli bersyarat)

    - Al-Ijarah (sewaan)

    - Al-Ijarah Thumma al-Bai‘ (sewa berakhir dengan pembelian)

    - Al-Istisna‘ (tempahan)

    - Al-Mudharabah (perkongsian keuntungan)

    - Al-Murabahah (jual beli dengan dinyatakan kos dan keuntungan)

    - Al-Musyarakah (perkongsian untung rugi)

    - Qardhul Hasan (pinjaman ehsan)

    - Bai‘ad-Dayn (jual beli hutang)

    - Bai‘al-Muzayadah (jual beli secara tawaran terbuka)

    - Al-Kafalah (jaminan)

    - Haq at-Tamalluk (hak milikan)

    - Al-Hawalah (pemindahan tanggungan hutang)

    - Al-Ibra’ (pengguguran hak tuntutan)

    - Ittifaq Dhimni (setuju praakad)

    - Ar-Rahnu (gadaian)

    - Sukuk (sijil sekuriti)

    - Al-Ujrah (upah/yuran)

    - Al-Wakalah (agensi)

wallahu'alam.










RUJUKAN


1. Sudin Haron, Sistem Kewangan dan Perbankan Islam, Kuala Lumpur: Kuala Lumpur Business School sdn bhd.



2. Dr Abul Aziz Khayyath, saham dan bon menurut perspektif islam, edisi terjemahan: Abu Al-Amin As-Sakandari, selangor: As Syabab Media.



3. http://www.sc.com.my/











Muhammad Ain bin Sapia’i
(Ijazah sarjana muda ekonomi dan perbankan islam)

Jelajahduniaperbankan.blogspot.com

23 januari 2010